APABILA ditanya pendapat orang ramai tentang fungsi tanduk rusa, kebanyakan mereka beranggapan ia hanya sesuai dijadikan perhiasan dinding.
Dengan cabang lancip yang asalnya tumbuh meninggi, gantungan
tanduk rusa apatah lagi di rumah desa, mudah memberi tafsiran bahawa ia adalah
ornamen yang kaya dengan nilai eksotik.
Namun, di sebalik pandangan tipikal itu, tanduk rusa
sebenarnya mempunyai 1001 manfaat perubatan yang diketahui sejak 2,000 tahun
lalu.
Di Rusia misalnya, pakar-pakar kesihatan dan kecergasan
negara itu mendedahkan bahawa atlet mereka mengalami peningkatan prestasi yang
besar selepas mengambil bahan bukan toksik yang dihasilkan daripada tanduk muda
rusa yang lebih dikenali sebagai tanduk baldu atau velvet antler.
Malah, menurut satu penyelidikan perubatan alternatif yang
diketuai Pengerusi Persatuan Akupuntur Amerika dan Perubatan Biotenaga, Prof.
Dr. Alex Duarte, di New Zealand, tanduk baldu digunakan sejak berabad lalu
untuk mengawal tekanan darah, meningkatkan tahap hemoglobin serta menambah
kecekapan fungsi paru-paru.
Menurut sejarah perubatan, tanduk baldu boleh mengubati 52
penyakit berbeza.
Antaranya, membantu pembinaan otot, meningkatkan fungsi
kelenjar, menambahkan stamina, menajamkan kecerdasan mental, melegakan
keradangan artritis, dan menyembuhkan ulser perut.
Sementara itu, pakar herba China menggunakan tanduk baldu
bagi menyeimbangkan sistem endokrin dan rawatan mati pucuk kaum lelaki.
"Tanduk baldu sangat bagus untuk merawat bengkak pada
kelenjar prostat, malah boleh memekatkan air mani.
Mati pucuk
"Ia juga banyak digunakan untuk merawat gangguan haid kerana ia mengandungi kedua-dua hormon lelaki dan wanita.
"Selain itu, tanduk baldu kaya dengan komponen tulang
rawan, enzim, mineral, vitamin, prostaglandin antiradang dan sejenis insulin
pertumbuhan iaitu IGF-1," jelas Duarte.
Lantaran manfaatnya yang pelbagai dan potensi kebolehpasaran
tanduk baldu sebagai cabang perubatan alternatif, seorang usahawan ternakan,
Muhammad Akhbar Chiraghdin, 52, yang sejak muda menternak lembu dan kambing,
mula mengalihkan tumpuan kepada ternakan rusa.
Mempunyai pengalaman selama 19 tahun menternak rusa, beliau
kini merupakan penternak terbesar rusa di negara ini.
Bermula dengan 22 ekor rusa di ladang yang dibuka di Bukit
Sentosa, Rawang, Selangor, rusa yang dibiak dan diternaknya kini mencecah 2,000
ekor.
Penternakan skala besar itu juga mendorong Muhammad Akhbar
untuk berpindah ke ladang baharu di Sungai Jin yang terletak di Sungai Lembing,
Pahang, dua tahun lalu.
Berdiri atas nama De Paradise Sdn. Bhd., anak kelahiran
Chenor, Maran ini berpendapat, menternak rusa jauh lebih mudah daripada lembu
atau kambing kerana ia memiliki daya tahan penyakit yang tinggi.
"Kita tidak perlu risaukan penyakit berjangkit seperti
penyakit kaki, mulut, tangan dan kuku, malah kadar penyembelihan haiwan kerana
sakit juga jauh lebih rendah berbanding dahulu," ujarnya.
Buktinya, di ladang seluas 102 hektar yang diusahakannya
itu, Muhammad Akhbar memerlukan empat atau lima pekerja sahaja bagi memastikan
ribuan rusa pelbagai spesies yang mempunyai kadar kesuburan 125 peratus itu
diberi makan pada masa tertentu.
Gigit tanduk
Menariknya, tujuan lelaki ini menternak bukanlah untuk
menjual daging rusa, sebaliknya mahu mendapatkan tanduk baldu yang kaya dengan
khasiat perubatan.
"Selepas membaca banyak jurnal perubatan dari Amerika
Syarikat, Kanada, New Zealand, China dan Korea, kemudian bertukar-tukar
pendapat dengan rakan-rakan penternak dari Australia serta merasai sendiri
manfaat daripada tanduk baldu rusa, saya pasti penternakan rusa berpotensi
untuk dikomersialkan.
"Saya ternak rusa untuk dituai tanduk baldunya
memandangkan belum ada pengusaha tempatan yang menceburi bidang ini, apatah
lagi dalam skala besar.
"Rusa hanya akan disembelih dan dijual dagingnya
apabila ia tercedera atau tidak mampu menghasilkan tanduk yang
berkualiti," katanya.
Menurut beliau lagi, hanya rusa jantan yang ditumbuhi tanduk
dan ia boleh dituai seawal usia tiga tahun.
"Selepas dua bulan tanduk baldu tumbuh, ia boleh
dituai. Dalam tempoh itu, tanduk memiliki kepanjangan antara 40 sentimeter (sm)
hingga 60sm.
"Tanduk yang berumur tiga bulan boleh mencecah ukuran
sehingga 80sm, tetapi pada masa itu tanduk mula mengeras.
"Rusa yang bakal dituai tanduknya diasingkan sebelum
dimasukkan ke dalam sebuah bilik gelap.
"Di situ nanti, proses menuai dilakukan. Ramai
beranggapan, memotong tanduk rusa hidup-hidup kelihatan zalim, namun fitrah
rusa itu sendiri mahukan tanduk itu ditanggalkan.
"Kalau tanduk dibiarkan panjang dan mengeras, rusa lain
akan menggigit tanduk rusa tersebut sehingga ia tertanggal. Fitrah ini berlaku
dalam keadaan tenang, bukan dalam situasi pergaduhan," ujar Muhammad
Akhbar.
Jelasnya juga, tanduk rusa akan dituai sehingga ke
pangkalnya.
"Selepas dua minggu tanduk dipotong, pangkalnya yang
mengeras akan tertanggal.
"Beberapa bulan selepas itu, tanduk baldu akan tumbuh
semula. Begitupun, tanduk tidak akan terus tumbuh.
"Jika tanduknya dituai pada bulan September tahun ini,
tanduk rusa yang sama hanya boleh dituai pada bulan Oktober tahun hadapan.
"Dalam setahun, hanya sekali tanduk rusa boleh
dituai," jelas Muhammad Akhbar yang menjalankan rutin menuai tanduk baldu
seminggu sekali di ladangnya.
Katanya, dalam setahun, ladangnya mampu mengeluarkan
sehingga 600 kilogram (kg) tanduk baldu.
by jutawanagro